HUBUNGAN INTIM DI TEMPAT KERJA

Kembali ke Senarai

PENGENALAN

Isu hubungan intim di tempat kerja bukanlah satu isu baru dalam permasalahan organisasi. Walaupun isu ini merupakan isu terpencil dan tidak sebanyak isu-isu lain seperti pekerja tidak bermotivasi, masalah displin, rasuah, tiada integriti dan sebagainya, namun ianya adalah satu permasalahan yang menarik yang sepatutnya diambil perhatian khususnya oleh Pegawai Psikologi dalam membantu pihak pengurusan organisasi.

Sesekali apabila kita mendengar beberapa kes penjawat awam ditangkap basah ataupun ditangkap khalwat mahupun terlibat dalam skandal seks, sudah tentu ianya menjadi perkara yang mengaibkan untuk imej pegawai awam itu sendiri khususnya dan perkhidmatan awam secara keseluruhan. Lebih malang sekiranya hubungan itu bukan sekadar membabitkan kumpulan pelaksana, malah pengurusan atasan yang sepatutnya menjadi contoh tauladan dan menjaga reputasi mereka juga tidak terlepas daripada terbabit dalam isu ini.

Isu hubungan intim di tempat kerja ini juga biasanya saling berkait dengan masalah peribadi atau rumah tangga pekerja terbabit yang mana boleh memberi implikasi kepada organisasi di mana individu itu bekerja. Sebagai seorang Pegawai Psikologi sebaiknya kita dapat mengenal pasti dan mengupas isu ini dengan lebih mendalam dengan mengetahui punca-punca, jenis-jenis dan keadaan sesuatu hubungan intim di tempat kerja dan seterusnya cara-cara menangani hal ini untuk membantu klien dalam sesi kaunseling.

DEFINISI HUBUNGAN INTIM DI TEMPAT KERJA

Di dalam Ensiklopedia office romance, work romance, corporate affair, atau hubungan intim di tempat kerja diertikan sebagai perhubungan intim yang berlaku di antara dua orang yang bekerja bersama-sama ada di tempat kerja ataupun pejabat yang sama. Ia kebiasaannya melanggar batas-batas kemesraan atau pergaulan yang telah digariskan oleh organisasi di mana individu-individu itu bekerja. Perhubungan ini boleh berlaku di setiap peringkat sama ada peringkat bawahan ataupun atasan dalam organisasi seperti antara bos dan anak buahnya ataupun pekerja dengan pekerja ataupun juga antara pekerja dan kliennya.

Kemungkinan juga terdapat unsur-unsur gangguan seksual semasa di peringkat awal perhubungan intim di tempat kerja ini. Hubungan intim di tempat kerja sememangnya memberi kesan yang sangat tidak baik terutamanya kepada pentadbiran di sesebuah organisasi di mana ia banyak menimbulkan konflik, menjejaskan hubungan personel dan memberi reputasi buruk kepada organisasi.

Andaian bahawa seseorang pekerja itu boleh mendapat kelebihan-kelebihan seperti cepat naik pangkat, mendapat perhatian dan sebagainya dengan “meniduri bos mereka” adalah antara sebab utama kepada hubungan intim di tempat kerja ini. Sebenarnya tanggapan ini adalah tidak benar sama sekali. Walau bagaimanapun berdasarkan kajian, terdapat sesetengah organisasi yang menjadikan amalan tidak sihat ini sebagai satu budaya dan menjadi perkara biasa di organisai mereka.

FATKOR-FAKTOR PENYUMBANG HUBUNGAN INTIM DI TEMPAT KERJA

Banyak faktor menyumbang kepada terjalinnya hubungan intim di tempat kerja ini. Kadangkala faktor-faktor ini timbul secara tunggal ataupun saling berkaitan antara satu sama lain. Antaranya kemungkinan masalah rumahtangga yang dialami oleh pekerja menjadi punca untuk menjadikan sahabatnya di tempat kerja sebagai tempat meluahkan perasaan pada awalnya. Namun lama-kelamaan ianya bertukar menjadi satu hubungan intim. Sehubungan itu faktor emosi, nafsu, mementingkan diri, kuasa, jenis dan suasana sesuatu pekerjaan hanyalah merupakan sebahagian daripada sebab kepada hubungan intim ini.

Di Amerika Syarikat dikatakan bahawa suasana, jenis dan kondisi sesuatu pekerjaan itu merupakan punca berkembangnya hubungan intim ini. Dalam suasana dunia perniagaan dan perubahan sosial yang sentiasa bersaing dan mencabar, setiap individu terpaksa berjuang untuk hidup. Menurut Joseph D.Lovesque dalam bukunya bertajuk The Human Resource Problem-Solver’s Handbook, beliau ada menyatakan bahawa interaksi-interaksi berkaitan pekerjaan dalam suasana bekerja yang memberikan peluang bagi pekerja bertukar-tukar idea, perasaan, matlamat, minat, tingkah laku, nilai, kelebihan dan sikap adalah merupakan antara perkara yang boleh membibitkan hubungan intim di tempat kerja seandainya disalah ertikan oleh individu terlibat. Menurut beliau lagi, sekiranya sesuatu jenis pekerjaan itu memerlukan satu hubungan yang rapat antara pekerjanya, pada satu peringkat kemungkinan boleh timbul rasa mesra, perasaan mengambil berat, minat dan cinta sesama pekerja tadi.

Mary Crary seorang saintis sosial menyatakan tempat kerja penuh dengan keadaan yang menggalakkan kepada hubungan intimasi. Walaupun kebanyakan kita telah di ajar dan diterapkan bahawa intimasi dan kerja adalah dua perkara yang sangat berbeza dalam kehidupan sosial kita., namun bagi sesetengah individu meraka tidak mampu melawan godaan dan berfikir secara rasional sekiranya berhadapan dengan suasana pekerjaaan seperti ini.

Kadangkala kita memilih untuk bekerja di sesebuah organisasi bukan sahaja kerana cabaran pekerjaan itu tetapi juga kerana kita suka kepada budaya dan suasana bekerja di situ. Menurut satu kajian akademik mendapati bahawa kebanyakan individu menemui pasangannya di tempat kerja berbanding di sekolah, kejiranan ataupun di persekitaran sosial yang lain.

JENIS-JENIS HUBUNGAN INTIM DI TEMPAT KERJA

Setiap hubungan intim di tempat kerja adalah berbeza-beza, namun secara amnya kebanyakan pegawai psikologi telah mengkategorikan kepada beberapa jenis iaitu :

1. Hubungan Intim Antara Bos/ Pengurus/ Mentor/ Penyelia dan Orang Bawahan

Hubungan jenis ini boleh dikatakan sebagai antara kes yang banyak berlaku di tempat kerja dan sememangnya ia satu hubungan yang boleh membawa kehancuran dalam hubungan organisasi. Dalam kebanyakan kes, ia melibatkan pemilik perniagaan, syarikat atau organisasi kecil di mana bos tersebut dengan sepenuhnya mengatur dan mengurus organisasinya. Jadi sekiranya mereka mempunyai kuasa dan niat jahat dalam mengawal dan memanipulasi pekerja bawahannya, kemungkinan besar mereka boleh menggunakan paksaan atau hubungan suka sama suka dalam membina hubungan intim ini. Di sini ketua juga dilihat mempunyai kuasa penuh dalam menentukan kenaikan pangkat, penghargaan dan projek-projek tertentu. Di atas kedudukan itulah, sekiranya mereka menyalahgunakan kuasa, mereka boleh memanipulasikan pekerja bawahan mereka dengan menuntut permintaan yang tidak sepatutnya seperti seks. Menurut Mainiero (1989), hubungan seperti ini sangat perlu dielakkan kerana ia boleh menjatuhkan moral dan maruah pekerja.

2. Hubungan Intim Sesama Rakan Sekerja

Hubungan intim yang berlaku antara sesama pekerja yang mempunyai peringkat jawatan yang sama tidaklah seberat antara bos dan orang bawahannya. Walau bagaimanapun, beberapa implikasi tetap boleh berlaku di mana sekiranya perhubungan tersebut berakhir dengan cara yang tidak baik maka ia boleh menimbulkan konflik, hilang motivasi dan produktiviti dan akhirnya mungkin pekerja tersebut akan meletak jawatan walaupun mungkin dari segi kerja pekerjaan adalah orang yang bagus dan cekap.

3. Hubungan Jangka Pendek (Flings)

Flings adalah hubungan intim sementara yang berlaku kerana tujuan-tujuan tertentu yang ingin dicapai oleh individu yang terlibat. Jangka masa penglibatan hubungan intim mini biasanya berjangka pendek. Sebagai contoh klien yang ingin mendapatkan tender atau projek daripada sesebuah syarikat, mereka akan cuba menggunakan taktik menggunakan wanita atau lelaki memikat individu yang berkuasa di syarikat tersebut dengan harapan untuk mempengaruhi keputusan indvidu tersebut dengan memberikan tender berkaitan.

4. Hubungan Jangka Panjang

Kebanyakan orang, sama ada pemilik perniagaan kecil, pengurus ataupun pekerja bawahan yang belum berkahwin atau mencari pasangannya di tempat kerja untuk matlamat jangka panjang dan memenuhi peracangan masa hadapan iaitu untuk berkahwin dengan orang tersebut. Hubungan ini menurut Levesque (1992) adalah merupakan impian kebanyakan pekerja yang belum berkahwin di mana harapan mereka adalah untuk mengikat satu ikatan kekal dan bermakna iaitu perkahwinan. Kemungkinan inilah satu-satunya perhubungan yang baik dalam hubungan intim di tempat kerja.

5. Hubungan Curang

Hubungan curang adalah hubungan intim yang menyumbang kepada kecurangan dan kes khalwat, berlaku luar dari batasan perkahwinan bagi individu yang sudah berkahwin di mana terdapat hubungan romantik ataupun seksual secara haram. Perhubungan ini biasanya berlangsung dalam jangka masa lama tanpa pengetahuan pasangan individu yang teribat itu. Perhubungan ini sukar diketahui oleh pasangan masing-masing kerana biasanya individu terlibat bijak berbohong dan berpura-pura terhadap pasangannya. Hubungan curang kebiasaannya yang bermula di tempat kerja ini apabila telah terbongkar akan mengakibatkan perpecahan rumahtangga dan juga mengganggu keadaan emosi serta perhubungan individu terlibat di tempat kerja. Kedudukan dan imej pekerja terbabit sudah tentunya akan tercalar dan memberi reputasi buruk terhadapnya.

PERBEZAAN PANDANGAN BERKAITAN HUBUNGAN INTIM DI TEMPAT KERJA

Penilaian dan pandangan mengenai bahayanya hubungan intim ditempat kerja adalah berbeza-beza. Sesetengah pihak berpendapat ianya adalah keadaan yang tidak sihat dan tidak diingini dan sebaiknya dijauhi walau di mana-mana setting pekerjaan sekalipun. Manakala sesetengah pihak pula berpendapat bahawa tidak mengapa dengan syarat hubungan itu berada di landasan yang dibenarkan. Sebagai contoh perbezaan di antara hubungan intim antara seorang pekerja yang sudah bersuami atau beristeri dengan pekerja lain sudah tentunya berbeza dengan seorang pekerja lelaki bujang yang mempunyai niat untuk berkahwin dengan seorang pekerja wanita yang juga bujang.

Walau bagaimanapun bagi kebanyakan penganalisis organisasi berpendapat bahawa hubungan intim di tempat kerja adalah sebagai sesuatu yang negatif yang patut dielakkan. Menurut Levesque (1989), walaupun mungkin sekali terdapat sebilangan kecil hubungan tadi berakhir dengan baik seperti perkahwinan, namun ianya amat jarang sekali berlaku dibandingkan dengan bilangan yang mengalami pengakhiran yang mengalami kemusnahan dari segi emosi, reputasi dan sebagainya. Bagi organisasi terlibat pula, banyak kerugian yang dialami. Ia melibatkan penurunan prestasi, produktiviti, pembuatan keputusan, objektif-objektif organisasi dan juga moral keseluruhan organisasi. Kemungkinan untuk wujud kesan-kesan negatif seperti permusuhan, dengki-mendengki, perbuatan khianat, membocorkan rahsia organisasi dan sebagainya boleh terjadi.

LANGKAH-LANGKAH MENGHINDARI BERLAKUNYA HUBUNGAN INTIM DI TEMPAT KERJA

Melalui beberapa penilitian, kajian dan pemerhatian didapati beberapa langkah dan garis panduan boleh dipraktikkan dalam menangani masalah hubungan intim di tempat kerja ini. Peranan menangani masalah tersebut boleh dibahagikan kepada dua iaitu peranan sebagai individu pekerja itu sendiri dan juga sebagai majikan atau pengurus di sesebuah organisasi itu.

1. Peranan Pekerja Itu Sendiri

• Jangan sesekali terlibat / melibatkan diri untuk curang walaupun sekadar berjenaka.
• Jangan berlebihan-lebihan bergaul secara sosial dengan rakan sekerja anda.
• Jangan memberitahu sepenuhnya rahsia (jangan terlalu percaya) dan kehidupan peribadi kepada orang lain yang bekerja bersama dan jangan biarkan mereka mengorek rahsia anda.
• Jangan benarkan diri untuk mempunyai teman istimewa yang berlainan jantina di mana sentiasa meminta bantuannya di tempat kerja anda.
• Melainkan atas sebab-sebab profesionalisme (seperti menjalankan sesi kaunseling, doktor merawat pesakit dan sebagainya), sebaik-baiknya jangan berjumpa secara sendirian di tempat dan suasana yang boleh menimbulkan syak bersama rakan sekerja ataupun klien berlainan jantina walaupun atas urusan kerja. Sebaiknya bawalah rakan atau teman bersama.
• Sekiranya anda telah terjebak dalam situasi ini, anda disarankan untuk berjumpa pegawai psikologi atau seseorang yang anda percaya untuk membantu anda.

2. Peranan Majikan Dan Ketua Jabatan

Nyatakan dengan jelas polisi organisasi anda berhubung larangan hubungan intim dan gangguan seksual di tempat kerja anda. Berikan taklimat dan maklumkan perkara itu sejelas-jelasnya kepada mereka.

• Pastikan bahawa pekerja-pekerja berada di bawah kawalan anda. Kurangnya kawalan dan kepimpinan anda terhadap mereka membuka ruang untuk mereka melanggar peraturan.
• Berikan taklimat dan latihan kepada penyelia, pengurus dan pekerja anda mengenai gangguan seksual di tempat kerja. Berikan pendedahan tentang jenis-jenis gangguan seksual, tindakan-tindakan yang boleh di ambil dan juga langkah-langkah menghindari gangguan seksual tersebut. Nyatakan kepada mereka bahawa perkara tersebut bukan sahaja menjejaskan emosi pekerja tetapi juga boleh menjatuhkan moral, motivasi dan produktiviti pekerja.
• Jangan melampaui batasan cara berhubung dan berkomunikasi terhadap pekerja bawahan anda.
• Segera bertindak sekiranya terdapat simptom-simptom hubungan intim di tempat kerja yang melibatkan pekerja anda. Jangan dibiarkan ianya melarat dan menjadi lebih kritikal kerana pada peringkat tersebut ditakuti sebarang usaha mengawal sudah tidak berkesan.

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya boleh dikatakan bahawa hubungan intim di tempat kerja ini adalah satu bentuk ikatan yang boleh mewujudkan ketidakstabilan dalam satu-satu kumpulan kerja dan sesebuah organisasi itu. Perlu dilihat juga bahawa perkaitanantara hubungan intim di tempat kerja ini dan elemen-elemen gangguan seksual adalah berkait rapat antara satu sama lain. Walau bagaimanapun banyak pengurusan organisasi tidak begitu mengambil berat akan kedua-dua perkara tersebut dan jarang sekali untuk membincangkannya. Sehubungan itu, peranan Pegawai Psikologi dalam membantu klien (pekerja) dari segi permasalahan kerjaya yang saling berkait dengan organisasi, peribadi, keluarga dan sebagainya adalah sangat penting dan perlu diberi perhatian.

Artikel Berkaitan

ADA APA DALAM BEG TANGAN WANITA

"Pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang menumpu kepada sesuatu objek. Manakala pengamatan wanita...

30 Nov 2025 Baca